Saturday, March 20, 2010

MERANGKAK MENCARI CAHAYA



www.saifulislam.com

Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.

Eropah cuba bangun kepada Pencerahan (Enlightenment) dan mereka bangun dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan jalan yang dipilih oleh seorang ahli falsafah Perancis iaitu RenĂ© Descartes (31 Mac, 1596 – 11 Februari, 1650), atau juga dikenali sebagai Cartesius. Antara kata-kata Descartes yang masyhur sebagai asas era Pencerahan ialah:


“Cogito, ergo sum”

“I think, therefore I am”

Punca Descartes menimbulkan pencariannya itu adalah kerana beliau hidup di dalam dunia yang mengelirukan dan penuh keraguan. Agama yang mendominasi kehidupan masa itu, sungguh bertentangan dengan naluri kemanusiaan. Paderi yang manusia, boleh pula menjadi pegawai menghapus dosa manusia. Penjelasan mengenai Tuhan oleh gereja hanya mengundang kecelaruan pemikiran. Descartes ditimpa keraguan lantas akhirnya mengesyaki segala-galanya. Kerana itulah, kata-kata Descartes itu selengkapnya berbunyi:



“I doubt, I think. I think, therefore I am”

Apabila Descartes meragui semua benda termasuk hakikat dirinya, akhirnya beliau bertemu dengan ‘fikir’. Keupayaannya untuk berfikirlah yang menjadi satu-satunya ‘bekal yang ada yakin’ untuk beliau mencari kebenaran. Falsafah Descartes ini akhirnya menjadi pendorong besar kepada masyarakat Eropah untuk merangsang diri mereka agar mempersoalkan semua benda dan idea yang wujud selama ini, dan memikirkan persoalan itu dengan ‘sebab musabbab’ supaya akhirnya bertemu dengan apa yang diyakini sebagai kebenaran.



Tradisi berfikir itu telah menyebabkan gereja mudah kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Jangan bercakap jika tidak logik. Tidak mungkin logik jika tidak bersebab lagi berdalil. Di era inilah ilmu Sains Kemanusiaan berkembang. Kesahihan sesuatu mesti ditentukan dengan disiplin Sains. Kaedah empirical studies yang dipopularkan oleh tokoh seperti John Locke (29 Ogos 1632 – 28 Oktober 1704) menjadi teras penentuan di mana sesuatu fakta yang mahu diterima, hendaklah ditentukan menerusi eksperimen dan pemerhatian. Ada sandaran.

Sedikit demi sedikit, pemikiran saintifik menguasai masyarakat, menggantikan pemikiran agama yang dilihat sebagai dogmatik dan anti logik.

MENGAGUMI PENCERAHAN EROPAH



Sungguh hebat era Pencerahan di Eropah. Sesiapa sahaja yang berjiwa Islah akan mengaguminya. Sesiapa sahaja yang sudah bosan dengan keangkuhan tradisionalisma akan mengambil inspirasi dari era Pencerahan Eropah. Bukan sahaja pengkaji barat, malah tokoh-tokoh Islam juga mendapat suntikan semangat untuk menjalankan perubahan di kalangan umat Islam sendiri hasil pembacaan dan kajian mereka terhadap era Pencerahan Eropah.

Di situlah munculnya nama-nama seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Keinsafan yang terbit dari memahami era Pencerahan Eropah juga mengundang Muhammad Shakib Arslan untuk melontarkan idea pembaharuan yang segar.



Dari Timur Tengah, kesedaran itu berkembang ke seluruh dunia. Ia terus berlangsung hingga ke hari ini. Tidak menghairankan, khususnya golongan profesional yang berpendidikan Barat tetapi berjiwa Islam, menyeru masyarakat kita hari ini agar mencontohi era Pencerahan Eropah. Tulisan-tulisan dan siri ucapan dari Forum Muslim Profesional misalnya, berulang kali mengajak generasi pembaharuan hari ini agar mencontohi strategi Martin Luther (10 November 1483 – 18 February 1546) yang mencabar tradisionalisma Katholik hingga berjaya mencetuskan reformasi agama bergelar gerakan Protestant.

No comments:

Post a Comment