Saturday, March 20, 2010

Pencetus Semangat

www.saifulislam.com



KERAGUAN

Adakah Itu Jalan Islah?

Perjalanan saya di dalam siri kuliah Modern History of Europe pada semester ini, menyebabkan saya banyak berfikir semula. Pengembaraan membongkar tingkah laku manusia semenjak di era pasca kejatuhan Constantinople pada tahun 1453, hinggalah kepada Eropah hari ini, menyebabkan saya jatuh kasihan kepada Eropah. Kasihan melihat suatu kumpulan manusia di bawah idea ‘Barat’, mencari jalan untuk cuba bertuhan dengan betul, tetapi asyik mengulangi pusingan kesilapan yang sama.



Saya tidak lagi boleh bersetuju jika ada yang menegaskan kepada saya bahawa Eropah itu membuang tuhan, seperti yang saya percaya selama ini. Di sepanjang zaman Eropah yang dapat dikesan dari sejarah bertulis, hanya dua kurun terakhir ini sahaja yang menyaksikan penguasaan trend membuang Tuhan dari kehidupan. Dan semenjak itulah, penyakit Eropah semakin tenat dan hilang kekuatan.

Ajaran Kristian yang diwarisi secara tradisi telah membentangkan syariat yang caca merba. Sikap gereja yang sombong, enggan menerima pendapat orang lain, dan mengambil langkah mudah dengan menghukum sesiapa sahaja yang bertentang pendapat, telah memakan diri mereka sendiri. Sekurun demi sekurun, gereja dan sesiapa sahaja yang bergantung pengaruh dengannya, termasuk golongan istana dan bangsawan, hilang kewibawaan, dominasi dan seterusnya renyuk dipijak kemarahan rakyat.

ZAMAN EROPAH JUMUD

Sesungguhnya agama yang diselubungi ketaksuban telah membunuh watak manusia yang berfikir. Mereka bertaqlid sama ada kerana kemalasan berfikir, atau bimbangkan tindakan pemuka agama yang berkuasa. Inilah kecelaan Kristian yang mengheret dunia Eropah ke zaman Gelap, kurun demi kurun.

Mendung itu akhirnya disapu pergi oleh kebangkitan golongan pembaharuan. Mereka mempersoalkan benda yang tidak pernah dipersoalkan, mereka menyemai benih keraguan di kalangan masyarakat agar kepercayaan masyarakat kepada kebodohan agama di Eropah itu tercabar dan terbongkar. Di atas keraguan itulah, akhirnya masyarakat Eropah berjaya memanfaatkan otak mereka untuk kembali menjadi manusia pemikir, dan berpemikiran sebagai jati diri.

Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.

No comments:

Post a Comment